Wednesday, July 22, 2009

ARWAH TOKI PAHANG JAMBI SAMBUT NAJIB



Sekeping gambar bersamaan seribu bahasa.

Buat memori seluruh anak cucu dan seketurunan 'Toki Pahang'lihatlah perjuangan keturunan kita 'orang tua dahulu'.

Arwah Toki Pahang walau pendidikannya tak tinggi dan bila tandatangan cek tulis 'phg' sahaja dan kurang lancar baca rumi TAPI punya VISI dan MISI yang sukar difahami orang kampung sezaman dengannya.

Bersama beberapa orang kampung disegani ketika itu, arwah Toki Pahang berjaya mengasaskan Sekolah Kebangsaan Kuala Wau, Maran, Pahang yang ketika ini amat indah walaupun diketogari SKM (Sekolah Kurang Murid).

Kalau tiada gambar foto berharga ini yang dibeli oleh kekanda Ramlee Jais daripada NST selepas tersiar dalam sisipan NST sempena perlantikan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam pada 03 APRIL 2009 (Jumaat) bertempat di Istana Negara,, Kuala Lumpur pastilah sukar untuk menyakini kepada keturunan Toki Pahang bahawa keluarga kita adalah keturunan penyumbang dan pembina kepada agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya terlalu banyak untuk ditulis tentang 'Toki Pahang' yang ayahandanya dulu rapat dengan istana kerana peranan sebagai penghulu.

Adalah suatu kenangan manis buat diri ini 'melihat' kemesraan Arwah Toki yang dikenali oleh ayahnda PM keenam @ Allahyarham Tun Razak yang bila berjumpa Toki Pahang dipanggil 'PAK PAHANG'.

Melalui runag terbatas ini dirakamkan untuk rujukan anakcucu & keturunan Toki Pahang bahawa Perdana Menteri Malaysia Kedua (Allahyarham Tun Razak)dan Perdana Menteri Malaysia Keenam terkini (Dato' Seri Najib Tun Razak)punya hubungkait bermakna untuk dikenang dan diceritakan kepada keturunan Toki Pahang seterusnya.

Kepada seluruh anakcucu keturunan Toki Pahang silalah 'COPY & PASTE' maklumat dibawah "ARWAH TOKI PAHANG SAMBUT NAJIB"

Catatan ini sengaja dimasukkan pada tanggal 23 JULAI 2009 (Khamis) bersamaan Sambutan Ulangtahun Harijadi ke 56 PM kita [Najib dilahirkan pada 23 JULAI 1953 di Kuala Lipis, Pahang].

Harapan pada Najib agar mewarisi kepimpinan ayahandanya dalam menyambung dan menyempurnakan membela nasib anakbangsa di bumi tanah tumpah kita dan "JANGAN SESEKALI KERA DI HUTAN DISUSUI, ANAK SENDIRI MATI KEHAUSAN"

Bijaksanalah Najib dalam membuat penambahbaikan untuk semua rakyat Malaysia TAPI jangan sampai terhakis apa yang sedia ada dan termaktub dalam Perlembagaan negra kita.

Tarikh: 23 JULAI 2009 (Khamis)
Masa: 10.23 pagi

Monday, January 12, 2009

SEJARAH 09NOV. 2008 - 25 DIS. 2008


Tanggal 17 Nov 2008 bergambar di laluan keluar selepas melawat Kilang Percitakan Al Quran Milik Penuh Kerajaan Arab Saudi yang terbesar di dunia. Terharu kerana dalam sebegitu banyak bahasa dalam dunia - bahasa kita BAHASA MELAYU digunakan bersama-sama BAHASA ARAB & BAHASA INGGERIS sebagai panduan arah di tempat tersebut.

Alhamdulillah ! Dipanjatkan setinggi kesyukuran terhadap Allah mahakuasa yang telah membolehkan persgi ke Makkah suami-isteri dalam menyempurnakan perintah Allah kepada hambaNya.

Tanggal 09 November 2008 berlepas dari rumah naik MAS dari Kuantan ke KLIA dan berkumpul di Kelana Jaya, kompleks Tabung Haji. Keesokannya 10 November 2008, kami dibawa menaiki bas sewakhas dengan iringan Polis Trafik menuju ke KLIA. Terima kasih semua pihak memudahkan perjalanan Kelana Jaya ke KlIA.

Kami berlepas ke Saudi Arabia menuju Madinah menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines SV5007 dalam kumpulan KT 31. Dari airport Madinah, kami dibawa dalam bas sewakhas menuju Hotel Taibah Daulah tidak jauh dari Masjid Nabawi.

Di hotel, pihak penganjur pekej menempatkan kami secara berasingan bilik lelaki-perempuan. Oleh kerana jarak hotel - masjid tidak jauh, memudahkan pergerakan pergi balik hotel-masjid sepanjang tempoh berada di madinah sebelum bertolak ke Makkah.

Salah seorang para jemaah lelaki berasal dari Pekan, Pahang telah meninggal dunia ketika dalam tidur dipercayai sebelum solat subuh hari sabtu 15 Nov 2008 kerana baru disedari sekitar waktu subuh.Alfatihah mudah2an Allah cucuri rahmat keatas roh allahyarham.

Seperti dijadualkan kumpulan kami KT 31 bertolak dari Madinah menaiki bas sewakhas menuju Makkah. Jarak perjalanan melebihi 400 km.

Diluar jangkaan kami, dua kali menerima "buah tangan". Sekali ketika melalui PINTU Keluar kawasan Madinah dan kali kedua diagihkan ketika memasuki PINTU MASUK kawasan Makkah. Buah tangan berbentuk makanan & air minuman membantu menyegarkan kami yang berada dalam bas untuk tempoh melebihi 6 jam dengan berhenti rehat di R & R untuk makan dan solat.

Jika dibandingkan dengan R & R di Leguhraya kita baik PLUS mahupun LPT, nyatalah R & R di Malaysia amat baik walaupun surau di R & R kita kecil berbanding dengan masjid di R & R tempat persinggahan semasa perjalanan antara Medinah dan Makkah.

Sebagai perbandingan keadaan R & R di Arab Saudi sekarang ada peningkatan berbanding pengalaman semasa tunaikan Umrah bersama Ayahanda & Bonda tahun 1999 dahulu. Dirakam terima kasih tidak terhingga kepada adinda Ri yang membiayai sepenuhnya perbelanjaan perjalanan Umrah tersebut.Pengalaman tunaikan Umrah tersebut banyak membantu pupuk keyakinan diri dan persediaan minda berharga sekali.

{16.01.09 - AKAN UPDATE - BILA KESEMPATAN ]

Tuesday, September 16, 2008

ALAM PEKERJAAN

Seperti orang lain juga, memulakan bekerja dalam bidang kerjaya pilihan hati membuatkan rasa kepuasan walau kadang kala penat tenaga & pemikiran kerana amanah tertanggung menjadi sebahagian penjawat awam dalam Kerajaan Seri Paduka Baginda.

Diterima memasuki perkhidmatan kerajaan di negeri Selangor dan akhirnya ditempatkan di negeri Pahang tempat kelahiran sendiri diibaratkan "orang mengantuk disorongkan batal". Terima kasih atas keperihatinan orang-orang di atas.

Atas menunaikan ikrar kerja yang kemudian diikat "Akujanji", segala tanggungjawab diberi dijalankan sebaik mungkin lebih-lebih lagi duduk di jabatan peringkat ibu pejabat negeri.

Pengalaman sukar dilupakan di saat dua kali anugerah khidmat cemerlang; sekali dihadiahkan pergerakan gaji melintang dan sekali lagi gaji menegak. Syukurlah atas razeki dilimpahi Allah kepada hambaNya ini.

Bernasib baik kerana diberi kepercayaan mewakili jabatan baik ke peringkat ibu pejabat persekutuan dan ke semua negri dalam malaysia atas urusan Seri Paduka Baginda.

Pesanan buat rakan-rakan yang sedang berkhidmat / bekerja baik dengan kerajaan mahupun swasta, bekerjalah dengan menganggap kerja itu suatu ibadah supaya setiap biji nasi yang masuk kemulut tanggungan kita adalah razeki halal belaka.

Kepada yang bakal menjadi pekerja baik dengan kerajaan ataupun swasta,jadikan gaji yang diterima sebagai imbuhan titik peluh yang sepadan tenaga & pemikiran dikeluarkan.

Berkhidmatlah kerana Agama, Bangsa dan Negara kita yang tercinta !

Tuesday, May 27, 2008

SEKOLAH RENDAH

Dibandingkan dengan persekolahan peringkat menengah, pengalaman sekolah peringkat sekolah rendah amat mencabar sekali. Ini disebabkan kampung penulis tidak ada sekolah rendah. Ada dua buah sekolah rendah berhampiran kampung penulis yang dijadikan pilihan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah.

Bapa penulis memilih sekolah di seberang Sungai Pahang yang jalan perhubungannya terpaksa menggunakan pengangkutan air . Masalah jika bersekolah alternatif sebuah lagi itu terpaksa menggunakan jalan darat tanpa turapan tar yang tidak seperti hari ini. Mungkin juga bapa menghantar ke sekolah rendah tempat penulis menghabiskan sekolah rendah dahulu kerana kampung tersebut adalah kampung asal bapa penulis.

Guru Besar sekolah rendah lebih dikenali Cikgu Malek Said menerajui sekumpulan guru yang berdedikasi sanggup berkhidmat di sebuah kampung terpencil di tepi tebing sungai Pahang. Isterinya bertindak bagaikan ibu kepada kami murid sekolah yang mesra dengan panggilan Makgu. Kepada anak-anak allahyarham cikgu Malek bahawa pengakuan ini dirakamkan dalam blog ini untuk tatapan pewaris kita. Penulis percaya darah perjuangan membina agama, bangsa dan negara yang mengalir dalam diri anak-anak allahyarham itu masih kekal dalam sanubari mereka. Cuma cara atau kaedah berbeza mengikut kerjaya masing-masing.

[27.05.08: AKAN bersambung]

Monday, May 26, 2008

SEKOLAH MENENGAH


kini dinamakan semula SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH
[dahlulu: SEKOLAH ALAM SHAH ; tetapi:LENCANA kekal]
Gambil diambil oleh penulis pada: 01 JUN 2008 - ahad]



Ketika bersekolah menengah selepas tingkatan tiga, adalah menjadi kegembiraan ibu bapa apabila si anak terpilih melanjutkan pelajaran ke SBP. Tidak terkecuali bapaku mengadakan jamuan ala kadar tanda kesyukuran di masjid kampung.

Bersekolah di Sekolah Alam Shah merupakan pengalaman bersekolah yang tidak boleh dilupakan. Pengalaman bersekolah dengan mereka yang memainkan peranan besar segala bidang utusan negara termasuk ahli politik teramat manis untuk dikenang.

Kini banyak telah berubah, Sekolah Alam Shah tidak lagi berada di tempat asal Jalan Cheras, Selangor. Lokasi baru Sekolah Alam Shah ditempatkan di Wilayah Pentadbiran Persekutuan. Kesempatan mengunjungi SAS di tapak baru di Putrajaya ketika bertugas dahulu sukar dilupakan.

Penulis bersyukur semasa bersekolah di Ahmad High School Pekan dan SMART Kuantan serta kemudian bersekolah di SAS hingga menamatkan persekolahan di tingkatan enam mendapat bantuan biasiswa kerajaan Negeri Pahang. Terima kasih Kerajaan Pahang kerana sudi membiayai persekolahan bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Kepada semua guru yang telah mendidik penulis hal dunia & agama termasuk guru quran di kampung, penulis sentiasa menghargai sumbangan pendidikan mereka dalam nenjadikan penulis menjawat jawatan pendidik sebagai kerjaya pertama dan terakhir .Terima kasih banyak cikgu semua. Jasa baik cikgu sentiasa dikenang. Alfatihah buat guru-penulis yang telah kembali kerahmatullah, semoga Allah mencucuri rahmah ke atas roh mereka.

Banyak guru yang menjadi pendorong penulis. Gaya mengajar mereka menjadi ikutan di samping latihan di beri pihak kementerian sebelum bergelar guru berkelayakan.

Penulis berpendapat sesiapa yang memilih kerjaya sebagai pendidik ( guru ) sebenarnya telah mendapat panduan cara pengajaran berkesan yang digemari murid. Latihan yang diterima hanyalah tambahan 'value added' sahaja.

Sesiapa guru yang menjadi punca masalah dalam pengajaran anak muridnya adalah merupakan modal insan yang menjadi liabiliti kepada masyarakat & negara dalam melaksanakan visi & misi pendidikan negara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dan hasrat Rukun Negara.

[ 27.05.08: AKAN bersambung]

[ akan bersambung]

SALAM PERKENALAN

Selamat melayari blog yang penulis gunakan untuk bersama-sama menghayati pengalaman dan menilai pandangan atau pendapat hal-hal berkaitan selaku warga Malaysia. Pandangan yang penulis tulis adalah pandangan peribadi dan boleh digunarujuk. Pandangan / komen pengunjung adalah pandangan pribadi mereka dan penulis blog ini tidak semestinya sependapat atau bersetuju dengan tulisan mereka itu.