Tuesday, May 27, 2008

SEKOLAH RENDAH

Dibandingkan dengan persekolahan peringkat menengah, pengalaman sekolah peringkat sekolah rendah amat mencabar sekali. Ini disebabkan kampung penulis tidak ada sekolah rendah. Ada dua buah sekolah rendah berhampiran kampung penulis yang dijadikan pilihan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah.

Bapa penulis memilih sekolah di seberang Sungai Pahang yang jalan perhubungannya terpaksa menggunakan pengangkutan air . Masalah jika bersekolah alternatif sebuah lagi itu terpaksa menggunakan jalan darat tanpa turapan tar yang tidak seperti hari ini. Mungkin juga bapa menghantar ke sekolah rendah tempat penulis menghabiskan sekolah rendah dahulu kerana kampung tersebut adalah kampung asal bapa penulis.

Guru Besar sekolah rendah lebih dikenali Cikgu Malek Said menerajui sekumpulan guru yang berdedikasi sanggup berkhidmat di sebuah kampung terpencil di tepi tebing sungai Pahang. Isterinya bertindak bagaikan ibu kepada kami murid sekolah yang mesra dengan panggilan Makgu. Kepada anak-anak allahyarham cikgu Malek bahawa pengakuan ini dirakamkan dalam blog ini untuk tatapan pewaris kita. Penulis percaya darah perjuangan membina agama, bangsa dan negara yang mengalir dalam diri anak-anak allahyarham itu masih kekal dalam sanubari mereka. Cuma cara atau kaedah berbeza mengikut kerjaya masing-masing.

[27.05.08: AKAN bersambung]

Monday, May 26, 2008

SEKOLAH MENENGAH


kini dinamakan semula SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH
[dahlulu: SEKOLAH ALAM SHAH ; tetapi:LENCANA kekal]
Gambil diambil oleh penulis pada: 01 JUN 2008 - ahad]



Ketika bersekolah menengah selepas tingkatan tiga, adalah menjadi kegembiraan ibu bapa apabila si anak terpilih melanjutkan pelajaran ke SBP. Tidak terkecuali bapaku mengadakan jamuan ala kadar tanda kesyukuran di masjid kampung.

Bersekolah di Sekolah Alam Shah merupakan pengalaman bersekolah yang tidak boleh dilupakan. Pengalaman bersekolah dengan mereka yang memainkan peranan besar segala bidang utusan negara termasuk ahli politik teramat manis untuk dikenang.

Kini banyak telah berubah, Sekolah Alam Shah tidak lagi berada di tempat asal Jalan Cheras, Selangor. Lokasi baru Sekolah Alam Shah ditempatkan di Wilayah Pentadbiran Persekutuan. Kesempatan mengunjungi SAS di tapak baru di Putrajaya ketika bertugas dahulu sukar dilupakan.

Penulis bersyukur semasa bersekolah di Ahmad High School Pekan dan SMART Kuantan serta kemudian bersekolah di SAS hingga menamatkan persekolahan di tingkatan enam mendapat bantuan biasiswa kerajaan Negeri Pahang. Terima kasih Kerajaan Pahang kerana sudi membiayai persekolahan bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Kepada semua guru yang telah mendidik penulis hal dunia & agama termasuk guru quran di kampung, penulis sentiasa menghargai sumbangan pendidikan mereka dalam nenjadikan penulis menjawat jawatan pendidik sebagai kerjaya pertama dan terakhir .Terima kasih banyak cikgu semua. Jasa baik cikgu sentiasa dikenang. Alfatihah buat guru-penulis yang telah kembali kerahmatullah, semoga Allah mencucuri rahmah ke atas roh mereka.

Banyak guru yang menjadi pendorong penulis. Gaya mengajar mereka menjadi ikutan di samping latihan di beri pihak kementerian sebelum bergelar guru berkelayakan.

Penulis berpendapat sesiapa yang memilih kerjaya sebagai pendidik ( guru ) sebenarnya telah mendapat panduan cara pengajaran berkesan yang digemari murid. Latihan yang diterima hanyalah tambahan 'value added' sahaja.

Sesiapa guru yang menjadi punca masalah dalam pengajaran anak muridnya adalah merupakan modal insan yang menjadi liabiliti kepada masyarakat & negara dalam melaksanakan visi & misi pendidikan negara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dan hasrat Rukun Negara.

[ 27.05.08: AKAN bersambung]

[ akan bersambung]

SALAM PERKENALAN

Selamat melayari blog yang penulis gunakan untuk bersama-sama menghayati pengalaman dan menilai pandangan atau pendapat hal-hal berkaitan selaku warga Malaysia. Pandangan yang penulis tulis adalah pandangan peribadi dan boleh digunarujuk. Pandangan / komen pengunjung adalah pandangan pribadi mereka dan penulis blog ini tidak semestinya sependapat atau bersetuju dengan tulisan mereka itu.